MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

"Tak suka UiTM... berhenti je", Mahasiswa dakwa diintimidasi selepas sertai 'flash mob'

SHAH ALAM - Beberapa mahasiswa mendakwa berdepan layanan tidak sewajarnya daripada seorang anggota Polis Bantuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ketika mahu memasuki semula kawasan kampus selepas menyertai flash mob “Selamatkan UiTM”, baru-baru ini.

Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM) dalam kenyataan mendakwa insiden berkenaan berlaku susulan flash mob yang diadakan berhampiran pintu masuk UiTM Shah Alam pada 2 Oktober lalu.

Menurut kumpulan itu, berdasarkan keterangan peserta serta rakaman video yang tular di media sosial, seorang anggota yang dirakam dalam video berkenaan didakwa mempersoalkan tindakan mahasiswa terbabit.

Antara kenyataan yang didakwa diucapkan ialah “kenapa tak suka UiTM?”, “agak-agak tak suka, berhenti je” dan “kerja kau belajar je”.

Juruucap KMUiTM, Luqman Kamal berkata, pihaknya berpandangan anggota keselamatan kampus tidak seharusnya menghakimi pendirian mahasiswa ketika menjalankan tugas.

“Mahasiswa yang mengkritik UiTM bukan bermaksud mereka membenci UiTM. Mahasiswa yang menuntut penjelasan dan mempertahankan kepentingan universiti tidak seharusnya dipersoalkan kesetiaannya kepada institusi,” katanya.

Menurut KMUiTM, sekiranya terdapat pelanggaran peraturan kampus, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

“Jika terdapat pelanggaran peraturan, nyatakan peraturan yang dilanggar dan ambil tindakan melalui proses yang sewajarnya. Jangan menggantikan peraturan dengan pandangan peribadi,” katanya.

Flash mob “Selamatkan UiTM” itu dianjurkan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) dan menurut KMUiTM, disertai kira-kira 15 mahasiswa serta alumni termasuk wakil dari UiTM Dungun dan UiTM Kedah.

Aksi berkenaan antara lain mengetengahkan beberapa persoalan yang dibangkitkan peserta berhubung tadbir urus dan integriti UiTM Holdings.

Bagaimanapun, persoalan yang dibangkitkan peserta berhubung UiTM Holdings itu merupakan pendirian pihak yang menyertai flash mob dan tidak dengan sendirinya membuktikan berlaku sebarang salah laku.

Dalam pada itu, KMUiTM berpandangan kritikan terhadap sesebuah institusi tidak seharusnya disamakan dengan kebencian terhadap institusi berkenaan, selain mahasiswa perlu diberikan ruang menyuarakan pandangan secara aman dan bertanggungjawab.

“Universiti bukan sekadar tempat mahasiswa hadir ke kuliah, menduduki peperiksaan dan menerima ijazah. Universiti juga merupakan ruang untuk mahasiswa berfikir, bertanya, mengkritik dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

KMUiTM turut menyeru pengurusan UiTM memastikan sebarang teguran terhadap mahasiswa dibuat secara profesional dan mengikut peraturan kampus.

“Jika soal adab dijadikan sandaran untuk menegur mahasiswa, prinsip yang sama mesti terpakai kepada semua pihak. Menyuruh mahasiswa berhenti belajar hanya kerana mereka memilih untuk bersuara juga bukan bentuk teguran yang beradab,” katanya.

Setakat laporan ini diterbitkan, MYBERITA belum memperoleh maklum balas rasmi daripada UiTM atau Polis Bantuan UiTM berhubung dakwaan yang dibangkitkan KMUiTM.