KEPALA BATAS - Kelibat putih yang dirakam melompat-lompat di kawasan berhampiran sebuah kilang di Bertam, Pulau Pinang, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial apabila ada yang mengaitkannya dengan kemunculan pocong.
Rakaman yang tular itu memperlihatkan satu objek menyerupai susuk tubuh berbalut kain putih bergerak secara melompat berulang kali di kawasan yang dipercayai berhampiran Bertam Eco Residence.
Lebih mencuri perhatian, beberapa lelaki yang dipercayai merakam kejadian berkenaan turut kedengaran terkejut selepas menyedari kelibat misteri tersebut.
“Eh pocong tu, mengerikan, info-info ada nampak tak,” kata seorang lelaki dalam rakaman berkenaan.
Berdasarkan video itu, kelibat berwarna putih berkenaan dilihat berada agak jauh daripada lokasi perakam sehingga memerlukan penggunaan fungsi zum pada kamera telefon bimbit untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.
Rakaman tersebut turut dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai Ferussaad yang mendakwa kejadian berlaku berhampiran kawasan kilang di Bertam.
“Kejadian semalam di kawasan kilang tepi Bertam Eco Residence. Aktif sungguh dia nooo,” tulisnya berseloroh.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk mereka yang berasa seram selain tidak melepaskan peluang membuat jenaka mengenai pergerakan kelibat tersebut.
“Pocong terlebih makan gula ni, hiperaktif lain macam,” komen pengguna Threads, Mr.L3kir.
“Kilang memang tempat kesukaan cikcong,” seloroh Aiman.amnddn.
Seorang lagi pengguna, Afyhntsy, turut berkongsi pengalaman mendakwa pernah melihat kelibat serupa yang mampu melompat lebih tinggi.
“Saya pernah nampak depan mata cikcong lompat, dia lompat lagi tinggi. Kalau dia lompat boleh dari satu tiang elektrik ke satu tiang elektrik. Tak tahu yang ni betul tak, macam lompat bintang noh,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, identiti sebenar objek berwarna putih dalam rakaman tersebut serta kesahihan dakwaan kejadian paranormal itu belum dapat dipastikan.

