JAKARTA - Situasi tegang yang dipercayai berlaku ketika demonstrasi di Indonesia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas rakaman memperlihatkan anggota keselamatan lengkap dengan peralatan kawalan rusuhan tular di media sosial.
Rakaman yang dikongsikan pengguna Threads, @zulhairi_zulkifili, itu meraih lebih 482,000 tontonan apabila memaparkan beberapa anggota keselamatan membawa perisai ketika berada di kawasan jalan raya yang dipercayai menjadi lokasi demonstrasi.
Menerusi video berkenaan, kelihatan beberapa anggota keselamatan bergerak dalam keadaan berjaga-jaga, manakala penghadang jalan berwarna merah turut kelihatan di sekitar kawasan kejadian.
Perkongsian tersebut turut disertakan peringatan kepada rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke Indonesia supaya mempertimbangkan semula perjalanan mereka susulan situasi yang didakwa semakin tegang.
“Dahsyat di Indonesia sekarang. Yang mana merancang ke sana minta tangguh. Rakyat sedang bangkit, Rupiah turun lagi,” tulisnya.
Hantaran berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi apabila sebahagian pengguna media sosial meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pelancong, selain mempersoalkan keadaan semasa di negara jiran itu.
Dalam masa sama, terdapat netizen yang menyuarakan simpati terhadap anggota keselamatan yang terpaksa berdepan risiko ketika menjalankan tugas mengawal demonstrasi.
Seorang pengguna Threads turut mempersoalkan tindakan individu yang didakwa menyerang anggota polis sedangkan kemarahan peserta demonstrasi sepatutnya ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap isu yang dibangkitkan.
“Tak faham la perusuh punya pemikiran. Korang marah kat pemimpin, tapi yang pergi hentam polis tu dah kenapa?” katanya.
Bagaimanapun, lokasi sebenar dan tarikh rakaman tersebut masih belum dapat dipastikan, termasuk punca demonstrasi serta keadaan semasa di kawasan terbabit.
Dakwaan mengenai penyusutan nilai mata wang rupiah yang dikaitkan dengan situasi berkenaan juga belum dapat disahkan.

.jpg)