
PETALING JAYA - Kerajaan disaran mempertimbangkan pelantikan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi memperkukuh pemantauan dan keselamatan pelajar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu wajar dilaksanakan sekiranya sistem sekolah berasrama mahu terus dikekalkan.
Menurutnya, pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera juga dapat mengurangkan beban guru yang ketika ini turut memikul tanggungjawab berkaitan pengawasan pelajar.
Beliau pada masa sama mencadangkan supaya kemudahan televisyen litar tertutup (CCTV) dipasang di semua sekolah berasrama sebagai langkah tambahan bagi meningkatkan aspek keselamatan.
"Suka atau tidak, jika kita masih percaya dan mahu teruskan sistem sekolah berasrama, kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk lantik warden sepenuh masa bekas tentera untuk kurangkan beban guru dan CCTV di semua sekolah asrama," katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya, hari ini.
Cadangan itu dikemukakan susulan kes kematian seorang pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun yang ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Sabtu lalu.
Pelajar berkenaan dilaporkan ditemui di dalam dewan pada waktu petang dan kematiannya disyaki mempunyai unsur jenayah.
Mengulas kejadian itu sebelum ini, Asyraf Wajdi turut menzahirkan kesedihan serta berharap keselamatan anak-anak di sekolah sentiasa dilindungi.
"Pagi-pagi sudah mendapat berita sedih kematian seorang lagi pelajar dalam keadaan tragis di sebuah sekolah di selatan tanah air.
"Moga Allah pelihara dan lindungi anak-anak kita daripada sebarang musibah," katanya.
