MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Belum reda kes abang, adik pula didakwa dibuli di sekolah sama

IPOH - Seorang ibu mendakwa dua anak lelakinya menjadi mangsa dalam dua kejadian berasingan di sebuah sekolah agama di Chemor dekat sini, termasuk seorang mengalami rahang terkehel manakala seorang lagi cedera di kepala.

Lebih membimbangkan, Nur Azwani Ahmad, 43, mendakwa kedua-dua anaknya ditinggalkan dalam keadaan cedera tanpa dibawa mendapatkan rawatan di hospital atau kejadian dimaklumkan segera kepadanya.

Menurutnya, kejadian pertama membabitkan anak sulungnya yang merupakan pelajar Tingkatan Enam pada 21 Julai lalu, sebelum anak keduanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa menjadi mangsa buli di asrama sekolah sama pada 5 Ogos.

Nur Azwani mendakwa anak sulungnya ditampar sebanyak enam kali oleh seorang guru ketika sedang membaca Surah Yasin selepas telefon bimbit yang dibawanya ditemukan pada hari peperiksaan.

Akibat kejadian itu, katanya, rahang anaknya terkehel sehingga mengalami kesukaran untuk membuka mulut.

Belum selesai berdepan kejadian membabitkan anak sulung, Nur Azwani mendakwa anak keduanya pula berdepan insiden lebih mencemaskan kira-kira pukul 11 malam, 5 Ogos lalu.

Menurutnya, seorang pelajar didakwa cuba membotakkan rambut anaknya berulang kali menggunakan mesin pencukur yang masih hidup sebelum berlaku pergelutan.

“Laporan dikatakan bergaduh. Sebenarnya dia dibuli sebab budak tersebut nak botakkan kepala dia berulang kali menggunakan mesin yang masih hidup.

“Dia terpaksa ambil alat pemadam api itu untuk mempertahankan diri. Masa itu di koridor tingkat tiga dan dia seorang diri dalam keadaan itu,” dakwanya.

Nur Azwani berkata, anaknya turut didakwa ditampar serta ditumbuk pada bahagian muka dan leher sebelum kepalanya terkena peralatan pemadam api ketika cuba mempertahankan diri.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di kepala sehingga pengsan.

Menurut Nur Azwani, dia hanya mengetahui keadaan anaknya selepas mangsa meminjam telefon untuk menghubunginya kira-kira pukul 10 pagi.

“Dia pinjam telefon dan telefon saya pukul 10 pagi. Saya terkejut dengan keadaan itu,” katanya.

Nur Azwani berkata, laporan polis berkaitan kejadian membabitkan anak sulungnya dibuat pada 4 Ogos, manakala insiden membabitkan anak keduanya dilaporkan pada 6 Ogos.

Katanya, satu pertemuan bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah juga telah diadakan, namun dia mendakwa masih belum melihat sebarang tindakan susulan setakat ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan.