
PETALING JAYA - Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menarik nafas lega apabila manik mutiara mainan yang dimasukkan anak bongsunya, Muhammad Afwa ke dalam lubang hidung berjaya dikeluarkan selepas kanak-kanak itu bersin.
Kejadian mencemaskan itu menyebabkan Afwa dibawa ke jabatan kecemasan hospital selepas pulang daripada latihan konsert Gema Bumantara yang bakal berlangsung dalam tempoh kurang seminggu.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Siti berkata, dia bimbang memikirkan cara untuk mengeluarkan manik berkenaan kerana saiznya yang disifatkan agak besar.
"Anak bertuah ibu. Balik rumah dari latihan, dia buat magik masukkan biji mutiara mainan dalam lubang hidung. Dah perlu pergi ke jabatan kecemasan," katanya.
Menurut pelantun lagu Anta Permana itu, mereka perlu menunggu kehadiran pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) bagi mendapatkan bantuan untuk mengeluarkan manik berkenaan.
"Masa ini Afwa tengah gementar, ibu lagilah tengah cuak. Macam manalah nak keluarkan manik mutiara itu, macam besar saja," jelasnya.
Bagaimanapun, keadaan kembali melegakan apabila Afwa akhirnya bersin sehingga manik tersebut keluar bersama hingus ke tangan ibunya tanpa memerlukan sebarang prosedur pembedahan.
"Agaknya dah lama sangat tahan bersin, dia lepaskan juga. Sekali keluar biji manik itu bersama hingus-hingus ke tangan ibu," kongsinya.
Siti turut memuat naik beberapa foto keadaan Afwa ketika berada di hospital, selain menunjukkan manik berwarna putih yang berjaya dikeluarkan dari hidung anaknya.
