
KUALA LUMPUR - Lebih empat juta pekerja di seluruh negara dijangka menerima manfaat susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum nasional sebanyak RM300 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenaikan berkenaan menyaksikan kadar gaji minimum meningkat daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menambah baik pendapatan pekerja.
Bagaimanapun, Anwar berkata, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan bulanan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian daripada pelaksanaan tersebut bagi membolehkan mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memperkenalkan kadar gaji permulaan minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan menerusi Pembaharuan Kerangka Pendapatan Pekerja.
“Selain gaji minimum, kerajaan turut melaksanakan Pembaharuan Kerangka Pendapatan Pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai kadar permulaan,” katanya.
Sementara itu, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) turut meningkatkan penanda aras Gaji Sara Hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
Menurut Anwar, langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja dalam syarikat terbabit.
“Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) turut menunjukkan teladan dengan menaikkan penanda aras Gaji Sara Hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini, sekali gus memanfaat seramai 230,000 pekerja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru majikan sektor swasta supaya mengambil langkah serupa dalam meningkatkan pendapatan pekerja selaras dengan keperluan kos sara hidup semasa.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperkenalkan langkah bagi membendung pengambilan dan penggajian pekerja asing tanpa izin (PATI) melalui penambahbaikan syarat tuntutan potongan cukai perbelanjaan gaji.
Anwar berkata, syarikat selain PMKS hanya dibenarkan menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya pembayaran dibuat menerusi transaksi akaun bank, selaras dengan Akta Kerja 1955.
Langkah tersebut bertujuan memperkukuh ketelusan pembayaran gaji serta memastikan pematuhan majikan terhadap peraturan penggajian pekerja.
