
KUALA LUMPUR - Semangat kerjasama ribuan sukarelawan, penjawat awam dan petugas perlumbaan menjadi antara faktor utama kejayaan Malaysia menganjurkan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan penganjuran acara sukan permotoran berprestij itu membuktikan rakyat Malaysia mampu mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila berganding bahu tanpa mengira latar belakang dan kaum.
Menurut beliau, komitmen semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran perlumbaan berkenaan wajar diberikan penghargaan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh barisan yang memungkinkan penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 yang baru selesai dengan tertib dan jayanya.
“Selain petugas F1, acara ini turut dijayakan oleh ribuan sukarelawan serta penjawat awam.
“Ia menunjukkan bila kita dapat bergabung tenaga dengan semangat segulai sejalai (seiring sejalan), Malaysia mampu berjaya pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, hari ini.
Penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober lalu menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu kembali ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun, dengan penganjuran terakhir di litar berkenaan pada 2017.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, semangat perpaduan yang sama turut dapat dilihat menerusi pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Asia ke-20 apabila atlet daripada pelbagai kaum bersama-sama menyumbang pingat kepada negara.
“Pemenang pingat merangkumi pelbagai kaum menunjukkan kita mencapai yang terbaik bila kita dapat meraih kekuatan daripada setiap komuniti,” katanya.
Kontinjen negara menamatkan saingan temasya berkenaan dengan kutipan sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa, sekali gus menyamai pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaannya.
Sembilan pingat emas itu diraih menerusi acara skuasy, karate, e-sukan, sepak takraw dan berbasikal trek.
Kedua-dua pencapaian sukan berkenaan, menurut Anwar, memperlihatkan kepentingan semangat kebersamaan dan kerjasama rakyat pelbagai kaum dalam mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
