MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen mulai esok

KUALA LUMPUR - Pengguna petrol tanpa subsidi berdepan kenaikan sekali lagi apabila harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 15 sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober.

Harga RON97 ditetapkan pada RM5.15 seliter, meningkat daripada RM5.00, manakala RON95 tanpa subsidi naik daripada RM4.52 kepada RM4.67 seliter.

Dalam tempoh sama, harga diesel tanpa subsidi tidak berubah dan kekal pada RM5.27 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan penetapan harga berkenaan dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), ketika harga minyak mentah Brent masih berlegar sekitar AS$100 (RM421) setong sepanjang tempoh pengiraan.

Menurut kementerian itu, meskipun aliran bekalan minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia masih berada pada paras tinggi dengan tekanan harga kini lebih tertumpu kepada produk petroleum bertapis.

Situasi itu turut dipengaruhi keputusan China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober yang menyebabkan bekalan produk petroleum bertapis di pasaran antarabangsa semakin terhad.

Bagaimanapun, pengguna yang layak menerima subsidi menerusi mekanisme Budi Madani tidak terjejas dengan kenaikan terbaharu itu apabila harga petrol dan diesel bersubsidi dikekalkan.

“Penerima Budi RON95 (Budi95) terus membayar RM1.99 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM4.67 seliter.

“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.68 seliter, bersamaan 57 peratus daripada harga tanpa subsidi,” menurut MoF.

Bagi penerima Budi Diesel pula, harga bahan api berkenaan kekal pada RM2.10 seliter berbanding RM5.27 seliter tanpa subsidi.

“Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM3.17 seliter, bersamaan 60 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi,” katanya.

Sementara itu, harga bahan api bersubsidi menerusi skim lain turut dikekalkan, masing-masing RM2.05 seliter bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan RM2.15 seliter bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Harga baharu berkuat kuasa mulai 8 Oktober hingga 14 Oktober.