
PUCHONG – Tindakan seorang individu membuat siaran langsung menerusi TikTok membawa kepada penemuan 21 botol berisi cecair disyaki air ketum di sebuah rumah di Kampung Sri Langkas, Puchong Permai, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.45 malam berhubung beberapa botol berisi cecair yang dilihat ketika individu berkenaan sedang membuat siaran langsung di platform tersebut.
Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Puchong bergegas ke lokasi kira-kira jam 9 malam.
“Pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Langkas Tambahan, Jalan Andalas Utama, Puchong.
“Ketika polis tiba, didapati tiada individu berada di dalam rumah berkenaan. Hasil pemeriksaan menemukan sebuah bekas plastik bertutup warna kuning yang mengandungi 21 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum,” katanya.
Wan Azlan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penemuan tersebut.
