
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa agar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal segera sembuh selepas beliau dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan kecemasan pada Rabu.
Ucapan itu disampaikan Anwar menerusi ruangan komen di Threads pada hantaran Wan Ahmad Fayhsal yang berkongsi perkembangan keadaan kesihatannya.
“Salam saudara, saya doakan agar saudara lekas sembuh dan diberikan aafiyah,” tulis Perdana Menteri.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan beliau tidak sedarkan diri ketika sedang menyiapkan latihan kerja sekolah anaknya pada awal pagi sebelum kembali sedar sekitar pukul 6 petang.
“Saya kini berada di HKL untuk jalani pemeriksaan dan rawatan mengejut.
“Pada awal pagi tadi ketika saya sedang siapkan latihan kerja sekolah anak tiba-tiba saya tidak sedarkan diri sama sekali sampailah jam 6 petang,” tulisnya.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, beliau dijadualkan menjalani pemeriksaan imbasan CT bagi mengetahui keadaan kesihatannya dengan lebih lanjut.
View on Threads
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Ahli Parlimen Machang memaklumkan Wan Ahmad Fayhsal kini menerima rawatan lanjut di HKL dan berada dalam keadaan stabil.
Doktor turut menasihatkannya supaya berehat sehingga pulih sepenuhnya.
