MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Isu Rohingya capai 'boiling point', Syed Saddiq mahu tindakan tegas dan adil

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak seharusnya terus menanggung isu pelarian Rohingya seorang diri apabila jumlah komuniti berkenaan terus meningkat, sedangkan usaha perkongsian tanggungjawab dengan negara lain masih belum mencapai hasil yang diharapkan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keadaan itu sudah mencapai tahap kritikal dan boleh memberi kesan lebih besar kepada politik serta nilai kemanusiaan negara sekiranya tidak ditangani secara tegas dan adil.

"Isu Rohingya di Malaysia adalah bom jangka, tetapi bom jangka ini sudah meletup dari tahun ke tahun.

"Kalau kita tidak tegas dan adil untuk bertindak, ia bakal membawa masalah dan padah yang lebih besar, bukan setakat berkenaan senario politik negara, tetapi fabrik moral Malaysia secara keseluruhan," katanya ketika membahaskan sesi penerangan mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq berkata, Malaysia ketika ini menampung kira-kira 130,000 pelarian Rohingya secara rasmi, manakala jumlah tidak rasmi didakwa melebihi 200,000 orang.

Katanya, angka berkenaan jauh lebih tinggi berbanding beberapa negara lain, termasuk Indonesia yang mempunyai kurang 2,600 pelarian Rohingya dan India dengan kurang 20,000 orang.

"Tetapi di Malaysia, melangkaui 200,000. Ia menunjukkan janji tidak tertunai, Malaysia akhirnya perlu serap segala masalah, tetapi diserap sekadar berseorangan, sambil yang lain kekal bahagia, seperti kita sahaja yang perlu menyelesaikan masalah ini," katanya.

Menurutnya, terdapat dua janji berkaitan pengurusan pelarian yang menurut beliau masih belum ditunaikan sepenuhnya.

Pertama, katanya, tanggungjawab mengurus pelarian tidak sepatutnya diletakkan di bahu Malaysia semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi negara jiran dan negara maju.

Beliau berkata, janji kedua pula membabitkan peranan UNHCR serta negara maju untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi sementara bagi proses dokumentasi sebelum pelarian ditempatkan semula di negara ketiga.

Katanya, pendekatan sedemikian pernah dilaksanakan dalam pengurusan pelarian Vietnam sebelum ini.

"Tetapi apa yang berlaku? Malaysia, dari tahun ke tahun, jumlah angkanya bertambah sampai ke tahap di mana ia sudah mencapai boiling point atau satu titik yang tidak boleh berpatah balik.

"Kita sudah mencecah angka 200,000. Berapa negara-negara maju ambil? Kurang 1,000 orang," katanya.

Syed Saddiq berkata, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk Malaysia mendapatkan pendekatan lebih menyeluruh supaya pengurusan pelarian tidak terus menjadi tanggungjawab negara ini secara bersendirian