
SEPANG - Kejayaan membawa pengalaman Grand Prix (GP) Bahrain ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam tempoh hanya dua bulan disifatkan sebagai pencapaian luar biasa oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1 (F1), Stefano Domenicali.
Domenicali berkata, tempoh singkat itu berjaya dimanfaatkan menerusi kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan SIC bagi memastikan penganjuran berkenaan menampilkan pengalaman sebenar GP Bahrain.
Katanya, komitmen Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut menjadi antara faktor penting yang membolehkan perlumbaan itu direalisasikan dalam tempoh berkenaan.
"Kami merasai pengalaman GP Bahrain yang luar biasa di Malaysia dan saya menghargai semangat serta komitmen tidak berbelah bahagi Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa terhadap perlumbaan ini dan F1.
"Visi, kesungguhan dan pemikiran tangkas baginda membolehkan kita menikmati gambaran sebenar acara Bahrain pada hujung minggu ini dan ia disempurnakan hanya dalam tempoh singkat, iaitu dua bulan," katanya
Beliau berkata, pasukan Bahrain dan SIC berganding bahu menyahut cabaran berkenaan bagi memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Dalam pada itu, Domenicali turut menyifatkan sambutan peminat terhadap kepulangan F1 ke Malaysia dan SIC selepas hampir sedekad sebagai sesuatu yang amat bermakna.
Menurutnya, kehadiran peminat sepanjang hujung minggu perlumbaan membuktikan sokongan terhadap sukan permotoran itu masih kuat, selain memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana GP.
"Saya mesti berterima kasih kepada peminat, semangat dan minat mereka terhadap sukan ini sangat jelas. Tanpa mereka, sukan kami tidak bermakna.
"Komitmen mereka ketika kami beralih untuk menganjurkan perlumbaan di sini amat luar biasa. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan seumur hidup mengenai detik yang benar-benar unik dalam sejarah F1," katanya.
