MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Pelancong China maut selepas tidak sedarkan diri ketika 'snorkeling' di Pulau Pom Pom

SEMPORNA - Aktiviti 'snorkeling' seorang pelancong wanita warga China bersama keluarganya di perairan Pulau Pom Pom di sini berakhir tragedi selepas mangsa meninggal dunia pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, mangsa berusia 66 tahun dari Yunnan itu dilaporkan mengadu tidak selesa sebelum meminta untuk kembali menaiki bot.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa sedang melakukan aktiviti 'snorkeling' bersama ahli keluarganya.

"Ketika berada di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna.

"Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia selain mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak 10 tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tan berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika mengendalikan aktiviti rekreasi air.

Beliau turut meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-212 0852 bagi membantu siasatan.