
KUALA LANGAT - Cadangan memperketatkan hukuman terhadap pelaku pembunuhan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) perlu diteliti dari pelbagai sudut sebelum sebarang pindaan dibuat, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, penelitian menyeluruh penting bagi memastikan sebarang tambahan peruntukan atau hukuman dalam akta berkenaan tidak hanya mengambil kira tuntutan masyarakat, tetapi turut mempertimbangkan kepentingan mangsa dan pelaku.
Katanya, pindaan undang-undang tidak wajar dibuat berasaskan emosi semata-mata, sebaliknya perlu melalui penelitian oleh pihak berkepakaran serta mengambil kira implikasi terhadap semua pihak.
"Saya tidak menolak cadangan (minta kerajaan menjalankan hukuman lebih berat kepada pembunuh di bawah Akta 611), tetapi sebarang peruntukan dan tambahan hukuman perlu dilihat dalam semua aspek.
"Apa-apa sahaja peruntukan dan hukuman bukan sahaja dikaji dan dibuat oleh Ahli Parlimen, malah pakar dalam bidang tersebut dilibatkan supaya hukuman yang ditetapkan dalam akta adalah adil kepada semua," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan orang ramai, khususnya dalam kalangan netizen, supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap remaja yang terlibat dalam kes pembunuhan dan didakwa di bawah Akta 611.
Amirudin menegaskan, sebarang usaha untuk memperkukuh undang-undang berkaitan kanak-kanak perlu dibuat secara berhati-hati supaya matlamat keadilan dapat dicapai tanpa mengabaikan prinsip perlindungan kanak-kanak.
