
SEREMBAN - Dakwaan bahawa empat Pembesar Memerintah bukan lagi pemegang jawatan yang sah dipersoalkan apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) didakwa mempunyai rekod terdahulu yang mengiktiraf kedudukan mereka sehingga April lalu.
Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai bersama Tunku Besar Tampin berkata, dakwaan mengenai ketidaksahan kedudukan empat Pembesar Memerintah itu hanya timbul selepas mereka melaksanakan prerogatif di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
Menurut kenyataan bersama mereka hari ini, rekod berkenaan antara lain merujuk kepada surat DKU bertarikh 7 Julai 2025 serta notis pada 15 April 2026 yang didakwa dikeluarkan daripada pejabat sama.
“Perutusan 4 Oktober 2026 mahu orang ramai percaya bahawa empat orang Pembesar Memerintah itu bukan pemegang jawatan yang sah. Padahal DKU sendiri mengiktiraf mereka sehingga April 2026.
“Dakwaan itu hanya timbul selepas mereka bertindak di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dibuat susulan perutusan DKU semalam yang antara lain menyentuh status empat Pembesar Memerintah terbabit.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempertikaikan asas dakwaan tersebut dengan merujuk kepada dokumen terdahulu yang menurut mereka menunjukkan kedudukan berkenaan masih diiktiraf pada tempoh tersebut.
Pertikaian terbaru itu sekali gus menambah satu lagi dimensi dalam isu berkaitan kedudukan Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan, khususnya berhubung tafsiran serta pelaksanaan peruntukan dalam UUTKNS 1959.
