MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Kekangan masa, Shuhaily tolak jawatan Timbalan Pengerusi Integriti FAM

KUALA LUMPUR - Komitmen menerajui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyebabkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain tidak dapat menerima pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM berkata, keputusan itu dibuat berikutan kekangan masa serta tanggungjawab Mohd. Shuhaily terhadap agensi berkenaan.

Menurut kenyataan FAM, pihaknya menghormati keputusan berkenaan selain menghargai kesediaan dan komitmen Mohd. Shuhaily sebelum ini untuk membantu memperkukuhkan aspek integriti serta tadbir urus badan induk bola sepak negara.

"FAM akan memastikan kelancaran fungsi Jawatankuasa Integriti terus diberi perhatian bagi menyokong usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus FAM," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Mohd. Shuhaily diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pelantikan berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah FAM memperkukuhkan integriti dan tadbir urus dalam badan induk bola sepak negara.