
KUALA LUMPUR - Pencinta haiwan peliharaan kini boleh menikmati pelepasan cukai bagi kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan angkat daripada pusat berdaftar menerusi peluasan skop pelepasan cukai individu yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara penambahbaikan pelepasan cukai individu yang turut merangkumi perbelanjaan pendidikan, penjagaan keluarga dan langganan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Ramai yang minat kucing, ada yang minat kupu-kupu, ada yang minat ular. Semua itu terangkum dalam (pelepasan cukai),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut bersetuju menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 selepas kadar berkenaan tidak disemak sejak 2010.
Menurutnya, peluasan itu mengambil kira perubahan keperluan dan corak perbelanjaan rakyat, khususnya golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang turut berdepan tekanan kos sara hidup.
Dalam aspek kesihatan, pelepasan cukai bagi rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin.
Sementara itu, pelepasan bagi penjagaan ibu bapa dan datuk nenek tidak lagi terhad kepada perbelanjaan kesihatan, sebaliknya merangkumi semua perbelanjaan penjagaan yang berkaitan.
“Selain itu, yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.
“Gaya hidup diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi dua banjaran pendapatan bercukai.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus,” katanya.
Beliau berkata, langkah berkenaan mengambil kira keresahan golongan M40 yang terus berdepan cabaran kewangan meskipun menunjukkan daya tahan dalam menguruskan peningkatan kos sara hidup.
Pelarasan kadar cukai dan peluasan skop pelepasan itu merupakan antara langkah fiskal yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi mengurangkan beban cukai individu serta mengambil kira keperluan perbelanjaan isi rumah.
