MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Gagal deposit RM67.5 juta, Rosmah berdepan tindakan penguatkuasaan penghakiman

Peguam syarikat berkenaan, Datuk David Gurupatham berkata, tindakan itu sah di sisi undang-undang meskipun Rosmah masih mempunyai rayuan yang belum diputuskan di Mahkamah Rayuan. - FOTO media


KUALA LUMPUR - Kegagalan Datin Seri Rosmah Mansor mendepositkan RM67.5 juta seperti diarahkan Mahkamah Tinggi membuka laluan kepada syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL, untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan penghakiman terhadapnya.

Peguam syarikat berkenaan, Datuk David Gurupatham berkata, tindakan itu sah di sisi undang-undang meskipun Rosmah masih mempunyai rayuan yang belum diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Menurutnya, isteri bekas Perdana Menteri itu gagal memenuhi syarat penangguhan pelaksanaan penghakiman yang menghendaki beliau mendepositkan jumlah berkenaan ke dalam akaun pemegang amanah dikendalikan peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan bermula 12 Ogos lalu.

"Hakikatnya, beliau (Rosmah) gagal mematuhi terma syarat penangguhan bersyarat sementara menunggu rayuan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 30 hari."

"Rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap penangguhan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan, baru-baru ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

David menjelaskan, keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 September lalu turut memperjelaskan bahawa Global Royalty mempunyai hak untuk menguatkuasakan penghakiman tersebut.

Beliau menegaskan, pemfailan rayuan tidak bermakna pelaksanaan sesuatu penghakiman mahkamah ditangguhkan secara automatik.

Sebaliknya, perintah Mahkamah Tinggi kekal berkuat kuasa selagi tiada keputusan atau perintah lain yang menghalang pelaksanaannya.

"Anak guam kami adalah pemiutang penghakiman yang sah di sisi undang-undang Malaysia."

"Sebarang cubaan untuk menghalang pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang sah atau kenyataan yang dikeluarkan ke arah itu boleh dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah," tegasnya.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap pendirian pasukan guaman Rosmah daripada Tetuan Reza Rahim & Rajivan yang menyifatkan usaha Global Royalty menguatkuasakan penghakiman RM67.5 juta sebagai pramatang.

Pada Rabu, peguam Rosmah memaklumkan bahawa anak guam mereka sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, dengan pendengaran ditetapkan pada 25 Mac tahun depan.

Pasukan guaman berkenaan turut membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan penguatkuasaan sebelum rayuan tersebut didengar dan diputuskan.

Pertikaian itu berpunca daripada tuntutan Global Royalty berhubung kehilangan 43 barang kemas yang didakwa pernah diamanahkan kepada Rosmah.

Pada 10 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Rosmah bertanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas terbabit.

Susulan keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani pada 12 Ogos membenarkan penangguhan pelaksanaan penghakiman secara bersyarat, dengan Rosmah diwajibkan mendepositkan RM67.5 juta dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, pada 23 September, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk mendapatkan penangguhan tanpa syarat sementara menunggu keputusan rayuannya terhadap penghakiman tersebut.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan kedua-dua pihak terus mempertahankan pendirian masing-masing berhubung pelaksanaan penghakiman, sementara rayuan utama Rosmah masih menunggu pendengaran di Mahkamah Rayuan.