
YANGON - Hampir 10,000 warga Myanmar yang berada di Malaysia tanpa dokumen sah dilaporkan telah dihantar pulang ke negara itu sepanjang tahun ini, termasuk lebih 1,400 orang yang tiba menggunakan kapal semalam.
Menurut media kerajaan Myanmar, jumlah keseluruhan individu yang dihantar pulang melalui udara dan laut setakat ini mencecah 9,517 orang.
Kumpulan terbaharu membabitkan 1,476 warga Myanmar yang tiba dengan kapal di luar Yangon, sekali gus menjadi kumpulan pertama daripada kira-kira 5,000 pendatang tanpa izin (PATI) yang telah disahkan oleh Kuala Lumpur untuk diterima semula oleh Myanmar.
Akhbar kerajaan, The Global New Light of Myanmar, melaporkan seramai 8,041 warga Myanmar telah dihantar pulang melalui penerbangan antara Januari hingga Ogos 2026.
Penghantaran pulang menggunakan kapal mendapat perhatian meluas di Malaysia, namun setakat laporan ini Kuala Lumpur belum memberikan penjelasan mengenai angka penghantaran pulang melalui penerbangan mingguan seperti yang dilaporkan pihak Myanmar.
Malaysia sebelum ini menegaskan individu yang dihantar pulang bersetuju secara sukarela untuk kembali ke negara asal dari pusat tahanan.
Bagaimanapun, proses penghantaran pulang itu turut mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia mengenai kemungkinan etnik Rohingya termasuk dalam kalangan mereka yang dihantar kembali.
Setakat ini, tiada perincian mengenai latar belakang etnik kumpulan berkenaan diumumkan.
Kebimbangan itu timbul susulan konflik berpanjangan di Myanmar selepas tentera mengambil alih kuasa pada 2021, dengan lebih 100,000 orang dianggarkan terkorban sejak tercetusnya perang saudara.
Rohingya pula telah melarikan diri secara besar-besaran dari Myanmar sejak tindakan keras tentera pada 2017 yang disifatkan kumpulan hak asasi manusia sebagai pembersihan etnik.
Tentera Myanmar secara konsisten menafikan tuduhan melakukan genosid terhadap kumpulan minoriti berkenaan.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik Rohingya merangkumi kira-kira dua pertiga daripada sekitar 190,000 pelarian dan pemohon suaka Myanmar di Malaysia.
