
KUALA LUMPUR - Pelakon Fauzi Nawawi terpaksa melupakan seketika kesakitan dialaminya demi menyempurnakan penggambaran filem aksi epik Orang Perang selepas dimasukkan ke hospital selama lima hari akibat masalah tekanan darah rendah.
Lebih mencetuskan tanda tanya, Fauzi atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi, 53, berkata kejadian itu berlaku tidak lama selepas seorang kru produksi dilaporkan hilang selama kira-kira sejam di kawasan hutan ketika penggambaran berlangsung di Hulu Bernam.
Menurut Fauzi, tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik sebelum tiba di lokasi, namun suasana ketika itu sudah kecoh susulan kehilangan kru terbabit.
“Sebelum saya dimasukkan ke hospital, ada seorang ‘soundman’ didapati hilang lebih kurang sekitar satu jam di dalam hutan. Memang kecoh set.
“Malah apabila saya sampai di lokasi penggambaran, dia sudah pun dibawa masuk ke dalam ambulans dengan mukanya tampak kebiru-biruan.
“Orang jumpa dia dalam pondok yang dibina untuk babak perang. Jarak ‘soundman’ dengan kamera pun tidak jauh. Jadi perkara itu memang agak misteri,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon yang sudah sekitar tiga dekad berkecimpung dalam industri seni itu tidak mahu mengaitkan kejadian berkenaan sepenuhnya dengan unsur mistik.
Sebaliknya, Fauzi berpandangan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan ketika penggambaran mungkin menjadi antara faktor kesihatannya terjejas.
“Bukan percaya perkara mistik, tetapi kita tahu selain anak Adam ada juga makhluk lain di muka bumi ini. Jadi di mana-mana tempat pun kita kena pandai bawa diri.
“Cuma mungkin ketika itu memang keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan buatkan badan saya cepat diserang penyakit,” ujarnya.
Fauzi berkata, dia reda apabila terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selama lima hari, namun pada masa sama bimbang keadaan itu akan menjejaskan perjalanan penggambaran dan menyukarkan rakan pelakon lain menyempurnakan babak.
Selepas pulih, dia terus kembali ke set bagi menyelesaikan baki penggambaran.
Dalam Orang Perang, Fauzi menggalas watak Syed Zainal, ketua pasukan Polis Hutan yang mempunyai peranan penting ketika zaman komunis dan bertanggungjawab mengepalai pasukan Senoi Praaq.
Menurutnya, tanggungjawab membawakan karakter berdasarkan individu sebenar memberikan cabaran tersendiri terutama untuk memastikan watak berkenaan ditampilkan dengan identiti berbeza berbanding beberapa watak pegawai polis yang pernah dilakonkannya.
“Walaupun saya tidak berkesempatan bertemu keluarga tokoh berkenaan bagi mendalami watak berkenaan, jasa Syed Zainal yang sangat besar mendorong saya mendalami perwatakannya.
“Sikap serta personaliti Syed Zainal diceritakan pengarah dan penerbit filem ini. Watak itu memang wujud dan cabaran saya memastikan watak polis yang saya bawakan kali ini berbeza,” katanya.
Tambah Fauzi, Orang Perang bukan sekadar mengetengahkan aksi dan perjuangan ketika zaman komunis, malah mengingatkan penonton mengenai pengorbanan generasi terdahulu dalam mempertahankan keamanan negara.
Filem arahan Hashim Rejab yang mula ditayangkan di pawagam pada 1 Oktober lalu turut dibintangi Niezam Zaidi, Ammar Alfian, Syazwan Zulkifly, Azhan Rani, Vanidah Imran, Adam Corrie dan Kazar Saisi.
