
KUALA LUMPUR - Penyanyi dan penulis lagu, Aina Abdul menyifatkan pelbagai pandangan terhadap karya lamanya sebagai sesuatu yang diterima dengan hati terbuka, malah percaya kritikan yang diterima turut membuka ruang untuk lagu berkenaan kembali mendapat perhatian ramai.
Menurut Aina, dia tidak mempunyai masalah sekiranya ada pihak yang menyukai atau mengkritik karya terdahulunya kerana setiap karya mempunyai cerita dan fasa tersendiri dalam perjalanan seninya.
"Cakaplah apa orang nak cakap pun, saya bangga dengan diri saya. Pada waktu itu saya masih baharu dalam industri dan saya memang nak buat macam-macam benda," katanya.
Aina berkata, ketika berada pada fasa awal kerjayanya, dia banyak bereksperimen dengan penampilan dan konsep muzik sehingga sesebuah muzik video boleh menampilkan pelbagai pertukaran busana.
"Kadang-kadang satu muzik video itu boleh sampai 10 baju. Jadi saya gembira ada yang suka, ada yang kutuk. Suka hatilah nak kutuk ke apa, dah lepas dah pun benda itu," katanya.
Dalam pada itu, Aina turut melihat perkembangan semula karya lamanya, ‘Maybe dan Kelip-Kelip’, sebagai sesuatu yang menggembirakan, khususnya apabila lagu berkenaan kini mula ditemui dan dihargai oleh pendengar baharu.
Menurutnya, lagu tersebut diinspirasikan daripada melodi lagu kanak-kanak, ‘Twinkle, Twinkle, Little Star’, dan pada ketika ia dilancarkan, karya berkenaan mungkin tidak mendapat perhatian yang diharapkannya.
"Saya pun bersyukur ramai yang 'discover' lagu itu. Lagu itu diinspirasikan daripada 'Twinkle, Twinkle, Little Star'. Waktu itu, lagu itu mungkin kurang mendapat perhatian," katanya.
Aina mengakui terkejut apabila melihat namanya dan karya berkenaan kembali diperkatakan di media sosial, termasuk di Threads, selepas bertahun-tahun lagu itu dilancarkan.
"Kadang-kadang kita tak tahu tuah manusia itu mungkin datang selepas bertahun-tahun. Saya pun terkejut buka Threads nampak muka lama saya. Kenapa tengok yang lama, dengar lah yang baharu, tapi saya tetap gembira sebab ramai yang suka," katanya.
Perkembangan itu turut menunjukkan bahawa sesebuah karya tidak semestinya mendapat sambutan pada waktunya, sebaliknya berpeluang menemui pendengar baharu apabila tiba pada masa yang tepat.
Dalam perkembangan berkaitan, Aina kini bersedia membawa karya terbaharunya, ‘Bluest Sky’, sebagai wakil rasmi Malaysia ke Eurovision Asia 2026 selepas dipilih menerusi pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
‘Bluest Sky’ merupakan karya ciptaan Aina sendiri dengan susunan muzik oleh pengubah muzik, Mac Chew, dan digambarkan sebagai sebuah ‘power ballad’ yang mengangkat kisah cinta, duka serta ketidakpastian dalam hubungan.
Aina berkata, karya berkenaan turut menjadi antara lagu paling mencabar untuk dirakamkan, terutama dari sudut emosi, selain menjadi peluang untuk memperkenalkan identiti muziknya di pentas antarabangsa.
