MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

"Resit ini untuk dibuktikan, bukan dibanggakan", Jep Sepahtu kongsi rekod bayaran zakat cecah RM300,000

KUALA LUMPUR – Soal rezeki dan tanggungjawab kepada orang lain menjadi perhatian pelawak dan bekas penyampai radio, Jep Sepahtu apabila tampil berkongsi rekod pembayaran zakat yang dibuatnya secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.

Jep atau nama sebenarnya, Mohd Nadzri Zainal Abidin menjelaskan, perkongsian tersebut bukan bertujuan menunjuk jumlah zakat yang dibayarnya, sebaliknya sebagai bukti selepas timbul persoalan mengenai pembayaran zakat yang dilakukannya.

Antara yang dikongsikan ialah rekod bayaran zakat berjumlah RM300,000 pada 2025, selain beberapa pembayaran lain antara RM25,000 hingga RM300,000 bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Menurut Jep, resit pembayaran tersebut bukan sesuatu yang perlu dibanggakan, sebaliknya sekadar bukti bahawa kewajipan berkenaan telah dilaksanakan.

“Resit ini untuk dibuktikan, bukan dibanggakan. Kalau sembang semua orang boleh sembang. Lagi-lagi sekarang zaman podcast, modal air liur sajalah.

“Alhamdulillah, rezeki yang ALLAH titipkan pada aku dengan izin ALLAH, aku turut berkongsi. Mana mungkin hak orang pula aku nak ambil,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya.

Dalam perkongsian sama, Jep turut menzahirkan penghargaan kepada sebuah stesen televisyen menerusi program Sepahtu Reunion serta Sinar yang menurutnya menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya sepanjang tempoh berkenaan.

Perkongsian itu hadir selepas Jep sebelum ini meluahkan rasa kurang senang terhadap isu berkaitan persahabatan, selain meminta seorang individu supaya tidak menggunakan sentimen berkenaan dalam urusan pemasaran dan publisiti.

Menerusi hantaran terdahulu, Jep turut memaklumkan bahawa dia sudah membuat permohonan maaf walaupun mendakwa pelbagai perkara pernah dilakukan individu berkenaan terhadapnya.

Dalam perkembangan terbaharu itu, Jep memilih untuk menjelaskan pendiriannya dengan berkongsi rekod pembayaran yang boleh menjadi bukti, selain menyerahkan soal rezeki dan kewajipan tersebut kepada Allah SWT.