MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

AJL jadi 'sekolah' untuk Aina Abdul belajar jadi lebih kental

KUALA LUMPUR - Penyanyi dan penulis lagu, Aina Abdul menganggap pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai ‘sekolah’ yang banyak membentuk dirinya sepanjang tujuh tahun bergelumang dalam industri muzik.

Menurut Aina, pengalaman membuat persembahan di AJL saban tahun menjadi ruang buatnya mengasah kemampuan, membina ketahanan diri serta memahami identiti persembahan yang ingin dibawanya.

"Saya sudah melakukan semua jenis persembahan di AJL. AJL adalah pentas yang melatih saya. Percaya atau tidak, AJL itu sebenarnya menjadi sebuah sekolah untuk saya.

"Sudah masuk tujuh tahun, dan AJL banyak melatih saya untuk betul-betul kental. Sekarang saya rasa momennya datang pada waktu yang tepat," katanya.

Aina berkata, pengalaman sepanjang tempoh berkenaan membuatkannya kini lebih mengenali kehendak diri, khususnya dalam menentukan bentuk persembahan yang mahu diketengahkan.

"Saya rasa saya sudah bersedia untuk tahu apa yang saya mahu. Saya tahu jenis persembahan yang saya mahu bawa," katanya.

Dalam pada itu, Aina menyifatkan sokongan daripada pelbagai pihak terhadap perjalanan seninya kali ini sebagai perkembangan positif, terutama apabila projek berkenaan tidak lagi digerakkan oleh Aina Abdul Entertainment secara bersendirian.

"Alhamdulillah, saya dapat sokongan daripada banyak pihak kali ini. Ia bukan lagi Aina Abdul Entertainment seorang sahaja, jadi itu satu perkara yang sangat positif.

"Jadi, saya sangat bersyukur," katanya

Pengalaman yang dikumpul menerusi AJL sepanjang beberapa tahun itu dilihat menjadi antara asas penting buat Aina dalam mempersiapkan diri menghadapi pentas lebih besar, termasuk mewakili Malaysia ke Eurovision Asia 2026 menerusi karya terbaharunya, ‘Bluest Sky’.