MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

“Kita pun tak suka semua orang”, Nadhir Nasar tak ambil pusing komen negatif

Bagi Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, usaha untuk memuaskan hati semua pihak hanya membuang masa kerana setiap individu mempunyai pandangan dan cita rasa berbeza. - Foto MYBERITA


BUKIT JALIL - Pelakon Nadhir Nasar memilih untuk tidak membiarkan kecaman dan pandangan negatif segelintir individu mengganggu ketenangan hidupnya, sebaliknya lebih menghargai sokongan peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya seninya.

Bagi Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, usaha untuk memuaskan hati semua pihak hanya membuang masa kerana setiap individu mempunyai pandangan dan cita rasa berbeza.

Malah, pelakon itu berpendapat perhatian seharusnya diberikan kepada mereka yang menghargai seseorang, bukannya terlalu memikirkan kritikan daripada pihak yang tidak menyukai dirinya.

"Kenapa nak fokus kepada seorang daripada 10 orang yang tidak suka? Saya fokus kepada sembilan orang lain. Benda ini soal perspektif dan cita rasa," katanya.

Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Viu Original, Bayangan Dendam, di Aurora Place, baru-baru ini.

Menurutnya, menjadi individu yang dikenali ramai sememangnya hadir bersama pelbagai bentuk perhatian, termasuk kritikan terhadap penampilan, personaliti dan mutu lakonan.

Bagaimanapun, Nadhir tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang perlu diperbesarkan kerana memahami bahawa tidak semua tindakannya akan mendapat penerimaan positif.

Katanya, keputusan menceburi industri hiburan turut menuntut dirinya bersedia menghadapi pelbagai reaksi masyarakat tanpa membiarkan perkara tersebut mempengaruhi kehidupan peribadi.

"Saya pilih untuk jadi pelakon dan seseorang yang orang nantikan hasil kerja serta perkara yang saya lakukan," jelasnya.

Nadhir turut menyedari bahawa setiap perkongsian atau hasil kerjanya mungkin menerima reaksi berbeza daripada masyarakat, namun perkara itu dianggap sebagai sebahagian daripada kehidupan seorang anak seni.

Pelakon itu turut menegaskan bahawa kehidupan menjadi lebih menyeronokkan apabila seseorang menerima perbezaan pendapat sebagai perkara biasa dan tidak terlalu mengejar penerimaan orang lain.

"Fokus pada perkara yang orang suka dan jangan beri perhatian kepada perkara yang orang benci. Pada akhirnya, bukan semua orang suka kita dan kita pun tidak suka semua orang," katanya.

Sementara itu, Nadhir kini tampil menerusi drama bersiri Bayangan Dendam yang menyaksikan dirinya memegang watak utama sebagai Farhan.

Naskhah berkenaan merupakan kerjasama pertamanya dengan platform penstriman Viu, selain mempertemukannya sekali lagi dengan pengarah Helmi Yusof.

Menurut Nadhir, watak Farhan memberikan cabaran tersendiri kerana memerlukan penghayatan emosi yang mendalam, khususnya dalam menggambarkan konflik dalaman seorang lelaki yang bergelut membuat keputusan.

Dia turut menghargai kerjasama barisan pelakon berpengalaman yang banyak membantunya menghidupkan karakter berkenaan sepanjang penggambaran.

Drama 12 episod itu mengetengahkan kisah persahabatan, pengkhianatan dan kematian mengejut yang membabitkan Ariana serta Farhan.

Selain Nadhir, Bayangan Dendam turut dibintangi Sophia Albarakbah, Erysha Emyra, Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin dan Mia Nasir serta ditayangkan menerusi platform penstriman Viu.