![]() |
| Mangsa, Mustafa Kamarudin Tajid, 74, ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dibawa arus ketika melalui jalan berkenaan. - FOTO ORANG AWAM |
REMBAU - Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan solat Maghrib di masjid berakhir dengan tragedi apabila kereta dipandunya dihanyutkan arus banjir di Kampung Kundur Hulu, di sini, pada Khamis.
Mangsa, Mustafa Kamarudin Tajid, 74, ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dibawa arus ketika melalui jalan berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib sebelum kenderaannya dihanyutkan arus banjir.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.20 malam.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau digerakkan ke lokasi sebelum tiba dua minit kemudian.
“Komander operasi dimaklumkan oleh waris bahawa bapanya terperangkap di dalam sebuah kereta Perodua Myvi selepas kenderaan itu dibawa arus ketika melalui jalan berkenaan,” menurut maklumat operasi JBPM.
Keadaan itu menyebabkan pasukan bomba mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Kemang bagi membantu usaha mengeluarkan mangsa.
Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dari kenderaan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat yang melibatkan anggota BBP Rembau dan BBP Teluk Kemang itu ditamatkan pada jam 10 malam.

