
JAKARTA - Kegagalan menangani kebakaran hutan yang mencetuskan krisis jerebu sehingga menjejaskan Malaysia dan Singapura membawa kepada tindakan saman terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersama sembilan defendan lain.
Saman berkumpulan itu difailkan empat plaintif daripada badan bukan kerajaan (NGO) pribumi, AMAM, di sebuah mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat, bulan lalu atas dakwaan kecuaian serius pihak berkuasa dalam menangani masalah berkenaan.
Menurut laporan AFP, Gabenor Kalimantan Barat turut dinamakan sebagai defendan dalam kes yang menyaksikan penduduk berdepan pencemaran udara serius akibat kebakaran hutan berpanjangan.
Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan penutupan sekolah, malah memaksa ratusan penduduk mendapatkan rawatan perubatan akibat masalah saluran pernafasan.
Peguam yang mewakili plaintif, Glorio Sanen berkata, tindakan undang-undang berkenaan bertujuan mencari penyelesaian terhadap kebakaran hutan yang berulang hampir setiap tahun di Indonesia.
Menurutnya, kemusnahan hutan menjadi antara faktor utama masalah tersebut, selain keadaan kemarau luar biasa yang dikaitkan dengan fenomena El Nino.
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada 10 defendan hadir ketika prosiding mahkamah berlangsung semalam.
“Kami sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka. Namun, kami juga memahami bahawa mungkin keadaan jerebu ini menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak,” katanya kepada pemberita.
Indonesia sebelum ini bergelut selama beberapa bulan untuk mengawal kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan luas di Sumatera, Papua dan Borneo.
Asap tebal daripada kebakaran berkenaan turut merebak merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di Malaysia dan Singapura.
Krisis jerebu itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan langkah pencegahan dan penguatkuasaan bagi menangani kebakaran hutan yang berulang di negara berkenaan.
Sementara itu, saman hampir sama yang difailkan di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan pada tahun lalu dilaporkan telah ditolak.
