
KUALA LUMPUR - Penantian ribuan pegawai perubatan kontrak mengenai masa depan kerjaya mereka mungkin menemui titik penyelesaian apabila kerajaan dijangka membuat pengumuman berkaitan isu berkenaan menerusi pembentangan Belanjawan 2027, esok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi bayangan bahawa perkara itu sudah dipertimbangkan kerajaan selepas beberapa permohonan dikemukakan bagi menangani isu lantikan kontrak dalam sektor kesihatan.
Menurut beliau, usaha menamatkan sistem lantikan kontrak pegawai perubatan merupakan antara keutamaan utama sejak kembali menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ini sudah pun dipertimbangkan, mungkin kita perlu sedikit sabar menanti pengumuman yang bakal dibuat.
Kita mengangkat pelbagai permohonan dan ada harapannya pada pembentangan belanjawan nanti,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Ahmad Yunus Hairi mengenai kemungkinan kerajaan menamatkan sistem lantikan kontrak menerusi kerjasama antara KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Yunus turut membangkitkan cadangan supaya syarat kelayakan permohonan jawatan pegawai perubatan bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak dilonggarkan.
Mengulas perkara itu, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa KKM sememangnya memberi keutamaan kepada penuntut universiti di kedua-dua negeri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, syarat kelayakan bagi permohonan jawatan pegawai perubatan masih tertakluk kepada ketetapan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Kita semua mahu memastikan jurang dan kelompangan ini akan dapat kita atasi dalam waktu terdekat,” katanya.
Terdahulu, KKM menetapkan sasaran untuk menamatkan isu lantikan pegawai perubatan secara kontrak menjelang 2028 dengan menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah selepas menamatkan latihan.
Usaha itu dilaksanakan menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan, termasuk penubuhan pasukan petugas bersama antara kementerian bagi menangani masalah sumber manusia dalam sektor kesihatan negara.
Bagaimanapun, sebarang keputusan rasmi berhubung masa depan sistem lantikan kontrak itu masih tertakluk kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027, esok.
