
KUALA LUMPUR - Usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang belum mempunyai pensijilan halal bakal menerima bantuan kewangan menerusi geran padanan sehingga RM5,000 bagi permohonan sijil halal kali pertama di bawah Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan yang menghasilkan produk berkualiti tetapi berdepan kesukaran mendapatkan pensijilan halal untuk meluaskan pasaran perniagaan mereka.
"Kerajaan bersetuju menyediakan geran padanan sehingga RM5,000 kepada syarikat PMKS yang mahu mendapatkan sijil halal kali pertama.
"Geran RM25 juta turut diberikan bagi memperkasa PMKS halal dalam bidang seperti kosmetik dan farmaseutikal," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menyediakan insentif cukai bagi memperkukuh sektor kewangan Islam dan menggalakkan pembiayaan patuh syariah.
Menurut beliau, penyedia perkhidmatan pengurusan dana patuh syariah akan menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 40 peratus bagi tahun taksiran 2028 hingga 2030.
Selain itu, penerbit Sukuk Prisma layak menerima potongan cukai terhadap kos penerbitan yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi tahun taksiran 2027 hingga 2030.
"Geran yang diterima di bawah Skim Sukuk SRI dan Geran Bon pula diberi pengecualian cukai pendapatan mulai 1 Januari 2027," katanya.
