
IPOH - Ibu bapa perlu diberi bimbingan yang sewajarnya bagi membantu mereka memahami keperluan anak-anak, termasuk dalam aspek kesihatan mental, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.
Beliau berkata, pendekatan mendidik dan mendisiplinkan anak kini turut berubah mengikut keadaan semasa, termasuk larangan menggunakan hukuman fizikal seperti merotan.
"Program itu dijalankan selama 10 minggu, dengan sesi selama tiga jam pada setiap Sabtu atau Ahad, bagi memberikan bimbingan kepada ibu bapa untuk mengetahui dan memahami keperluan anak-anak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Madani Kita 2026 Bersama Komuniti Buntong di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari, di sini hari ini.
Mengulas mengenai saman sivil yang difailkan keluarga pelajar Tingkatan Empat, Yap Shing Xuen, yang maut ditikam di sebuah sekolah di Damansara pada Oktober tahun lalu, Kulasegaran enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan membabitkan Kementerian Pendidikan dan pihaknya tidak mempunyai fakta lengkap.
Katanya, kerajaan dan polis akan mengambil tindakan mengikut proses biasa berdasarkan perkembangan kes berkenaan.
"Saya tidak mahu membuat kesimpulan terlalu awal. Bagaimanapun, tindakan kerajaan dan pihak polis akan mengikut proses biasa, melainkan berlaku sesuatu yang luar biasa," katanya.
Semalam, ibu Shing Xuen dilaporkan memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa agensi kerajaan, ibu bapa suspek dan remaja lelaki yang didakwa terlibat dalam kejadian itu.
Saman berkenaan difailkan pada 1 Oktober menerusi Tetuan Surendra Ananth, dengan keluarga mendakwa tragedi tersebut boleh dielakkan sekiranya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya, khususnya dalam menangani isu kesihatan mental pelajar.
Dalam perkembangan berkaitan, Kulasegaran berkata, perkara mengenai bimbingan ibu bapa turut diberi perhatian menerusi satu program di Serdang, Selangor, semalam yang dihadirinya bersama lebih 1,000 ibu bapa.
Beliau berkata, kaedah mendisiplinkan anak juga tidak lagi sama seperti ketika generasi terdahulu.
"Ketika saya membesar dahulu, kami biasa dirotan. Sekarang, rotan tidak lagi boleh digunakan," katanya.
