MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Stok minyak dunia makin 'kering', harga berisiko melonjak

LONDON - Pasaran minyak dunia semakin terdedah kepada kejutan bekalan apabila stok penampan yang boleh diakses semakin berkurangan, sekali gus meningkatkan risiko lonjakan harga dalam tempoh akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Saudi Aramco, Amin Nasser, berkata kurang daripada enam bilion tong inventori komersial masih berbaki di seluruh dunia, namun sebahagian besar daripadanya tidak boleh digunakan secara praktikal.

"Kurang daripada enam bilion tong inventori komersial masih berbaki hari ini dengan sebahagian besarnya secara praktikal tidak boleh digunakan. Ini menyebabkan sistem sudah berada di bawah tekanan," katanya pada Energy Intelligence Forum di London.

Menurutnya, lebih satu bilion tong minyak telah dikeluarkan, terutama daripada inventori komersial darat, sejak tercetusnya krisis Asia Barat tahun ini, sekali gus menjadi antara langkah utama terakhir yang masih tersedia bagi meredakan tekanan pasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sedang bersiap untuk melepaskan 100 juta tong minyak mentah dan diesel bagi membantu membendung kenaikan harga diesel.

Nasser berkata keputusan berkenaan memerlukan rundingan, namun jumlah pelepasan yang dirancang ialah 100 juta tong.

"Ia memerlukan banyak rundingan, tetapi jumlahnya 100 juta tong," katanya.

Menurut IEA, permintaan minyak dunia kini berada pada sekitar 102 juta tong sehari.CEO Chevron, Mike Wirth, berkata kehilangan stok penampan menjadikan pasaran minyak lebih rapuh selain meningkatkan paras harga minimum komoditi berkenaan.

Beberapa eksekutif industri pada forum itu turut menjangkakan pergolakan pasaran minyak berterusan hingga selepas tahun depan kerana pengisian semula inventori mungkin mengambil masa bertahun-tahun, terutama ketika permintaan global terus meningkat.

Tidak semua minyak dalam simpanan boleh digunakan serta-merta berikutan faktor operasi seperti baki minyak di dasar tangki dan minyak yang masih berada dalam saluran paip.

Keadaan itu turut dipengaruhi faktor politik apabila kerajaan menetapkan paras minimum stok kecemasan yang perlu dikekalkan.

Nasser berkata terdapat permintaan besar di seluruh dunia untuk membina inventori tambahan bagi meningkatkan daya tahan pasaran terhadap gangguan bekalan.

Sementara itu, CEO Kuwait Petroleum Corporation, Shaikh Nawaf Al-Sabah, berkata syarikat berkenaan menyasarkan peningkatan kapasiti penyimpanan minyak di Kuwait serta kemudahan penapisannya di luar negara.

CEO Vitol, Russell Hardy, pula berkata dunia kini bergantung kepada eksport minyak melalui laut dari Asia Barat bagi memastikan bekalan kekal seimbang ketika musim sejuk kerana inventori yang boleh dikeluarkan di Barat semakin terhad.

Data Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) menunjukkan stok minyak mentah dalam Strategic Petroleum Reserve (SPR) negara itu kini berada pada paras terendah sejak Oktober 1982.

Dalam masa sama, inventori gas asli turut menyusut, menyebabkan harga komoditi itu lebih terdedah kepada lonjakan.

CEO PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik, memberi amaran bahawa musim sejuk yang buruk berpotensi mencetuskan tekanan besar terhadap pasaran gas pada suku pertama 2027 sekiranya simpanan jatuh ke paras minimum.

"Musim sejuk yang buruk boleh mencetuskan malapetaka dalam pasaran gas pada suku pertama 2027," katanya.