
KUALA LUMPUR - Tindakan merakam proses pengebumian jenazah tanpa mendapat keizinan keluarga mendapat reaksi pendakwah dan penceramah motivasi, Amin Idris yang menegaskan bahawa hak serta perasaan waris perlu dihormati.
Menerusi satu komen di Threads, Amin memberikan pandangan terhadap persoalan seorang pengguna media sosial yang ditegur keluarga rakannya selepas merakam proses pengebumian untuk dikongsikan kepada kenalan lain.
Menurut Amin, tiada keperluan untuk seseorang merakam gambar atau video ketika pengebumian semata-mata bagi memaklumkan berita kematian kepada rakan-rakan.
“Pertama, tiada keperluan untuk rekod. Kalau nak bagitau rakan, cukup sekadar bagitau. Tiada gambar pun tak apa. Apatah lagi jika family tak izinkan. Itu hak mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kehadiran seseorang ke majlis pengebumian sepatutnya memberi tumpuan kepada mendoakan kesejahteraan si mati, bukannya sibuk merakam suasana di tanah perkuburan.
“Kedua, tanggungjawab kita yang hadir ke pengebumian adalah doakan pengampunan untuk si mati dan menginsafi one day kita juga akan mati. Bukan ambik video dan gambar,” katanya.
Bagaimanapun, Amin menjelaskan bahawa tindakan merakam gambar atau video bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan pertikaian sekiranya melibatkan ahli keluarga sendiri, namun perkara itu tidak sepatutnya menjadi keutamaan ketika berdepan kehilangan insan tersayang.
“Ketiga, melainkan kalau keluarga kita sendiri meninggal, kita nak ambik gambar atau video, silakan. Tapi jangan sampai itu jadi agenda utama,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman ditegur keluarga rakannya yang meninggal dunia selepas dia merakam proses pengebumian jenazah berkenaan.
Pengguna itu menjelaskan bahawa rakaman tersebut dibuat dengan tujuan memaklumkan perkembangan pengebumian kepada rakan-rakan lain menerusi kumpulan perbualan.
“Kawan aku meninggal. Then waktu kebumi tu aku record la untuk update ke kawan/group. Tapi family arwah marah and tegur aku. Salah ke kalau rakam jenazah tengah kebumi?” soalnya.
