MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Raja Permaisuri Agong menitiskan air mata ketika ziarah keluarga Irene Sofiya

YONG PENG - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dilihat menitiskan air mata ketika berkenan menziarahi dan menyantuni keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, di Kampung Selamat di sini, hari ini.

Suasana pilu menyelubungi pertemuan itu apabila Seri Paduka Baginda meluangkan masa bersama keluarga pelajar Tingkatan Empat berkenaan selain menyampaikan kata-kata semangat dan menitipkan doa agar mereka terus tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

Raja Zarith Sofiah tiba kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Pertemuan dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd. Fauzi Bachok.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan bertemu bapa Allahyarham, Mohd. Khairool Faisal Khyar, 42, neneknya, Jameyah Rabani serta ahli keluarga lain.

Dalam pertemuan berkenaan, Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga yang kini berdepan detik sukar selepas pemergian Irene Sofiya.

Seri Paduka Baginda turut menyampaikan kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham agar terus kuat dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Ziarah yang berlangsung dalam suasana penuh hiba itu mengambil masa hampir sejam.

Irene Sofiya sebelum ini ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng pada petang Sabtu lalu sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.