
KULIM - Kebimbangan keluarga dan warga sekolah terhadap kehilangan seorang murid perempuan berusia 11 tahun terlerai selepas dia ditemukan selamat bersembunyi di dalam tandas sekolah, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, murid berkenaan sebenarnya tidak pernah meninggalkan kawasan sekolah seperti yang didakwa sebelum ini.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas seorang guru lelaki yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) menerima aduan daripada seorang murid kira-kira jam 9.20 pagi bahawa rakannya dipercayai keluar dari sekolah bersama lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.
"Guru itu kemudian memaklumkan kejadian kepada ibu bapa murid berkenaan sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Kob," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsul berkata, siasatan mendapati murid terbabit hadir ke sekolah kira-kira jam 7.20 pagi selepas dihantar kakaknya sebelum menyertai perhimpunan pada jam 8 pagi.
Katanya, ketika perhimpunan, murid itu bermain dengan sanggul rakannya sebelum rakannya menarik tudungnya sehingga anak tudungnya terjatuh.
"Selepas perhimpunan, murid itu yang berasa marah dengan tindakan rakannya pergi ke tandas untuk membetulkan tudung dan kemudiannya bersembunyi di dalam tandas serta tidak masuk ke kelas," katanya.
Beliau berkata, apabila murid berkenaan didapati tiada di dalam kelas, seorang rakannya memaklumkan kepada guru bahawa dia telah keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki menaiki motosikal.
"Hasil rakaman percakapan mendapati rakan murid itu mengaku mereka-reka cerita kerana sakit hati dengan murid berkenaan.
"Rakan yang menarik tudung juga mengetahui cerita itu tidak benar, namun mengiyakannya," katanya.
Syamsul berkata, siasatan lanjut mengesahkan murid terbabit tidak pernah meninggalkan kawasan sekolah dan sebaliknya berada di dalam tandas berkenaan.
Sementara itu, ibu saudara murid terbabit berkata, keluarganya amat bimbang mengenai keselamatan kanak-kanak berkenaan sebelum menarik nafas lega selepas dia ditemukan semula.
Kejadian itu sebelum ini turut mencetuskan perhatian di media sosial apabila orang ramai diminta membantu mengesan murid berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang dan didakwa mengikut seorang lelaki menaiki motosikal dari kawasan sekolah.
