MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

MRT dan LRT sesak luar biasa, penumpang terlepas hingga 10 tren

KUALA LUMPUR - Seorang pengguna pengangkutan awam mendakwa terpaksa melepaskan sehingga 10 tren kerana gerabak yang tiba dipenuhi penumpang ketika kesesakan melanda beberapa stesen rel di ibu negara malam tadi.

Kesesakan dilaporkan berlaku sekitar pukul 8 malam membabitkan Stesen MRT Bukit Bintang di Laluan Kajang, sebelum keadaan dipercayai turut memberi kesan kepada perjalanan pengguna di stesen lain termasuk Stesen LRT Bangsar.

Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai AJ berkata, dia terpaksa menunggu hampir sejam di Stesen LRT Bangsar ketika dalam perjalanan pulang ke Meru, Klang.

Menurutnya, pihak pengurusan stesen turut membuat pengumuman bahawa tren perlu dikendalikan secara manual sehingga menyebabkan perkhidmatan menjadi perlahan dan jumlah penumpang di platform semakin meningkat.

“Keadaan di Stesen Bangsar masih sangat sesak dan saya sudah terlepas 10 tren kerana tidak dapat masuk.

“Kekerapan tren nampaknya sudah kembali normal dengan tren tiba setiap dua minit, tetapi setiap tren yang sampai penuh dengan penumpang,” katanya ketika dihubungi.

AJ turut meluahkan kekecewaan terhadap gangguan perkhidmatan yang didakwanya berulang dan berharap pengendali mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelakkan masalah sama terus menjejaskan pengguna.

Sementara itu, Rapid KL menerusi kemas kini pada pukul 11 malam memaklumkan aliran penumpang di Stesen MRT Bukit Bintang telah kembali normal.

“Kami akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Bagaimanapun, Rapid KL tidak memperincikan punca sebenar peningkatan mendadak jumlah penumpang atau kesesakan yang berlaku.

Insiden itu sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap keupayaan perkhidmatan rel mengendalikan jumlah penumpang tinggi, khususnya apabila berlaku gangguan yang boleh menyebabkan kesesakan berantai di beberapa stesen.