
ANKARA - Lima gempa bumi cetek menggegarkan selatan Turkiye dalam tempoh kira-kira enam jam semalam, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di utara Syria.
Bagaimanapun, kesemua gempa berkenaan tidak mengakibatkan kecederaan atau kerosakan, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD).
AFAD memaklumkan empat gempa berlaku di daerah Saimbeyli, wilayah Adana, manakala satu lagi direkodkan di daerah Sumbas.
Gempa pertama bermagnitud 4.8 berlaku pada 2.19 petang, diikuti gempa bermagnitud 4.9 pada 2.36 petang dan 4.4 pada 7 malam serta 4.3 pada 8.28 malam.
Satu lagi gempa lebih kuat bermagnitud 5.2 melanda Sumbas pada 2.43 petang, kira-kira 80 kilometer dari Saimbeyli.
Menurut AFAD, kejadian berkenaan tidak menimbulkan sebarang 'situasi buruk'.
Pusat Gempa Bumi Kebangsaan Syria dalam kenyataan menerusi Telegram pula memaklumkan kesemua lima gegaran itu dirasai di beberapa kawasan di utara Syria.
Kawasan berkenaan terletak kira-kira 150 kilometer dari pusat dua gempa bumi besar yang melanda Turkiye pada Februari 2023, mengorbankan sekurang-kurangnya 53,000 orang di negara itu dan kira-kira 6,000 lagi di Syria.
Turkiye sememangnya terdedah kepada aktiviti seismik berikutan kedudukannya yang dilintasi beberapa garis sesar geologi yang pernah mencetuskan bencana besar.
