
KUALA LUMPUR - Pembangunan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai menjadi antara langkah segera kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di Lembah Klang menerusi peruntukan RM100 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada lima langkah utama yang dipersetujui Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kerajaan turut menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi memastikan keperluan air dapat dipenuhi untuk tempoh 30 tahun akan datang.
"Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor menyepakati lima langkah utama termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi 30 tahun mendatang.
"Sebagai langkah segera, RM100 juta disediakan untuk membangunkan kolam takungan dan menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan merancang Projek Empangan Lebir di Kelantan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir dan bekalan air bersih di negeri itu.
Anwar berkata, perancangan projek berkenaan akan dimulakan bagi menangani kedua-dua isu tersebut.
"Kerajaan akan memulakan perencanaan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang," katanya.
Pada masa sama, pembinaan Loji Rawatan Air Machang serta kerja penggantian paip uzur di Kelantan sedang dilaksanakan bagi membantu menangani masalah bekalan air bersih di negeri berkenaan.
