
BATU PAHAT - Kerajaan Johor akan meneliti aspek keselamatan sekolah dengan lebih menyeluruh susulan kematian tragis pelajar berusia 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Rosli di Yong Peng, Sabtu lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan dalam bidang kuasanya bagi memastikan aspek keselamatan di sekolah mendapat perhatian sewajarnya.
Katanya, tragedi yang menimpa Allahyarhamah Irene Sofiya tidak seharusnya berulang, justeru perkara berkaitan keselamatan sekolah perlu diberikan perhatian lebih serius.
"Sebentar tadi saya telah menziarahi keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Rosli, 16, dan melahirkan rasa sedih serta pilu dengan kejadian yang berlaku. Insya-Allah, kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka.
"Di peringkat kerajaan negeri, apa yang boleh dibantu akan diberikan bantuan, namun ribuan sekolah di Johor dan puluhan ribu di seluruh negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa suspek telah direman bermula semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak polis.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi memastikan proses undang-undang berjalan dengan sewajarnya.
"Yang penting sekarang kita berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan memastikan mereka yang didapati bersalah menerima hukuman yang setimpal," katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz meluangkan kira-kira 45 minit menziarahi keluarga Allahyarhamah di kediaman nenek mangsa.
