KUALA LUMPUR - Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) membina empayar bola sepak yang meraih 35 trofi dalam tempoh 13 tahun kini dibawa ke layar menerusi dokumentari terbaharu, ‘UNTAMED’, yang mendedahkan kisah di sebalik tabir kebangkitan Southern Tigers.
Dokumentari berdurasi 76 minit itu bukan sekadar memaparkan kejayaan JDT di atas padang, sebaliknya membawa penonton menyelami tekanan, kontroversi serta keputusan penting yang membentuk identiti kelab berkenaan.
Lebih menarik, ‘UNTAMED’ turut mengetengahkan perspektif peribadi Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail, mengenai visi dan aspirasi baginda dalam membangunkan kelab itu sehingga muncul antara kuasa besar bola sepak Asia.
Menerusi rakaman eksklusif, penonton berpeluang melihat realiti pengurusan kelab, suasana bilik persalinan, sesi latihan serta cabaran yang dihadapi pemain dan barisan kejurulatihan dalam mengekalkan reputasi JDT.
Dokumentari berkenaan turut menghimpunkan beberapa tonggak utama Southern Tigers termasuk Arif Aiman, Bergson da Silva, Matt Davies dan Corbin Ong, selain bekas pemain Safiq Rahim serta Safee Sali.
Bekas ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak, bersama beberapa individu penting dalam pengurusan kelab turut berkongsi pengalaman mengenai transformasi pasukan itu.
Antara yang terlibat ialah Ketua Pegawai Operasi JDT, Alistair Edwards; Pengarah Kewangan, Datuk Seri Jaifuddin; Pengurus Projek Khas, Kevin Ramalingam dan bekas Pengarah Sukan, Martin Prest.
Dokumentari itu juga menampilkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, penyanyi rap Joe Flizzow serta wartawan sukan Keesh bagi memberikan perspektif berbeza mengenai pengaruh dan perkembangan JDT.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, kejayaan sesebuah kelab bola sepak moden tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kejuaraan semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan organisasi dan budaya profesional.
“Dalam bola sepak moden, kejayaan sesebuah kelab bukan hanya diukur melalui keputusan selepas 90 minit perlawanan atau jumlah trofi yang dimenangi.
“Apa yang membezakan kelab berprestasi tinggi ialah struktur organisasi, budaya profesional, konsistensi dan keupayaan untuk terus meningkatkan standard, musim demi musim,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, dokumentari itu turut memperlihatkan bagaimana visi, keputusan strategik dan pelbagai cabaran memainkan peranan penting dalam membentuk JDT seperti yang dikenali hari ini.
“UNTAMED memberi gambaran tentang apa yang diperlukan untuk membina JDT seperti hari ini, termasuk visi, keputusan penting dan cabaran di sebalik pencapaian kelab,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JDT turut melancarkan platform penstriman eksklusif, JDT+, sebagai usaha memperluaskan pengaruh Southern Tigers menerusi penerbitan kandungan digital premium.
Platform yang membawa identiti ‘The Home of JDT Originals’ itu akan menghimpunkan dokumentari, siri original serta rakaman eksklusif mengenai kehidupan pemain dan perjalanan kelab di luar padang.
‘UNTAMED’ menjadi kandungan sulung platform berkenaan sebelum disusuli siri dokumentari ‘OUTBOUND’ yang memaparkan perjuangan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), dijadualkan bermula November ini.
Luis berkata, pembangunan platform berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang JDT untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama sukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, JDT kini menduduki ranking pertama di Asia Tenggara dan tangga ke-10 di Asia seperti dinyatakan dalam kenyataan media berkenaan, selain pernah mencipta sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama menjuarai Piala AFC.
Peminat boleh menonton ‘UNTAMED’ menerusi platform JDT+ di www.jdtplus.com dengan langganan Season Pass berharga RM69 bagi musim 2026/27, yang turut menawarkan akses kepada kandungan eksklusif lain sepanjang musim tersebut.

.jpg)