
BATU PAHAT - Situasi jerebu yang semakin memburuk di Batu Pahat memaksa 335 institusi pendidikan ditutup mulai esok selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melonjak ke paras 203, sekali gus dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Arahan penutupan itu melibatkan 176 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), 105 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), sebuah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) serta 53 Institusi Pengajian Islam Swasta di seluruh daerah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat, Kamalludin Jamal berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa kualiti udara serta selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan KPM.
“Selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), tindakan pengurusan jerebu di sekolah hendaklah dilaksanakan berdasarkan bacaan IPU dan arahan pihak berkuasa pendidikan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, sekolah juga perlu bersedia melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya menerima arahan daripada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.
“Ini tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya.
Kamalludin yang juga Pegawai Daerah Batu Pahat berkata, pihak sekolah perlu memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid serta saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga menerusi saluran rasmi masing-masing.
Dalam pada itu, JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula institusi pendidikan dibuat.
“Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah hendaklah berdasarkan perkembangan kualiti udara dan arahan rasmi pihak berkuasa,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Kamalludin berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di Batu Pahat terus terpelihara.
