
KUALA LUMPUR - Penantian sembilan tahun peminat Formula Satu (F1) untuk kembali menyaksikan deruman jentera di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terubat menerusi perlumbaan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 yang berlangsung penuh dramatik dan mendebarkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran kali ini sebagai satu kenangan cukup bermakna buat peminat sukan permotoran dari seluruh dunia, selepas Sepang kali terakhir menjadi gelanggang perlumbaan F1 pada 2017.
Meskipun hujan membasahi litar, suasana di kawasan penonton kekal meriah dengan aksi sengit yang dipamerkan barisan pelumba sepanjang perlumbaan.
Menurut Anwar, persembahan hebat semua pelumba dan pasukan berjaya menghadirkan saingan penuh debaran sekali gus menghidupkan semula aura F1 di Sepang.
“Terima kasih kepada seluruh pelumba dan pasukan atas aksi hebat yang disajikan buat peminat dari seluruh dunia sekali gus menjadikan perlumbaan di Sepang kali ini kenangan yang cukup bermakna,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam perlumbaan itu, Max Verstappen dari Red Bull Racing muncul juara selepas menamatkan 55 pusingan dengan catatan 1 jam 47 minit 14.808 saat.
Kimi Antonelli dari Mercedes menamatkan saingan di tempat kedua, 2.307 saat di belakang Verstappen, manakala Lewis Hamilton dari Ferrari melengkapkan podium di kedudukan ketiga.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pelumba berkenaan serta Red Bull Racing atas kejayaan yang diraih.
Beliau bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa turut menyampaikan trofi kepada pelumba serta pasukan yang mengungguli perlumbaan tersebut.
Kembalinya F1 ke Sepang berlaku selepas Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada Julai lalu mengesahkan Malaysia sebagai venue GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober.
Persetujuan itu dicapai antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain bagi membolehkan perlumbaan berkenaan kekal dalam kalendar F1 2026.
Sepang yang mula menjadi venue F1 pada 1999 sebelum penganjuran terakhir pada 2017 kembali menerima deruman jentera selepas sembilan tahun, sekali gus menghidupkan semula nostalgia sukan permotoran berprestij itu di Malaysia.
