
HONG KONG - Hong Kong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ekonomi paling bebas di dunia selepas sekali lagi menduduki tempat teratas dalam Laporan Tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia 2026 yang dikeluarkan Fraser Institute pada Selasa.
Dalam laporan itu, Hong Kong mengekalkan kedudukan pertama bagi bidang kebebasan perdagangan antarabangsa, selain berada di tempat kedua dalam kategori peraturan, sekali gus mencerminkan kekuatan persekitaran ekonominya yang terbuka dan kompetitif.
Jurucakap Kerajaan Hong Kong berkata pencapaian berkenaan mengesahkan semula kedudukan wilayah itu sebagai ekonomi pasaran bebas dengan persekitaran perniagaan yang terbuka, cekap dan adil.
"Laporan itu mengesahkan semula kekuatan Hong Kong sebagai ekonomi pasaran bebas serta persekitaran perniagaan yang terbuka, cekap dan adil," katanya seperti dilaporkan Xinhua.
Menurutnya, kedudukan itu penting ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan yang semakin meningkat serta kecenderungan perlindungan perdagangan yang semakin ketara.
Katanya, Hong Kong akan terus mengekalkan statusnya sebagai pelabuhan bebas, selain melaksanakan dasar tarif sifar serta sistem percukaian yang mudah dan rendah.
Pendekatan berkenaan, katanya, membantu menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang selamat, stabil, adil serta boleh diramal kepada pelabur dan usahawan antarabangsa.
Kerajaan Hong Kong turut akan bekerjasama dengan pelbagai sektor masyarakat bagi memperkukuh peranannya sebagai 'empat pusat dan satu hab', di samping mempercepat pembangunan Metropolis Utara.
Usaha itu dijangka merangsang pertumbuhan sosial dan ekonomi, selain membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan tempatan, orang awam, pelabur dan tenaga mahir dari seluruh dunia.
