MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Bergson cedera, Harimau Malaya mungkin hilang senjata utama

Kecederaan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menimbulkan kebimbangan selepas dia terpaksa dikeluarkan ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Port FC 3-0 dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, baru-baru ini. - Foto Sukanz


PETALING JAYA - Harimau Malaya berdepan kemungkinan kehilangan antara tonggak utama jentera serangan apabila penyerang naturalisasi negara, Bergson Da Silva mengalami kecederaan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman, November depan.

Kecederaan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menimbulkan kebimbangan selepas dia terpaksa dikeluarkan ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Port FC 3-0 dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Bergson yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua sempat mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua JDT menerusi tandukan pada minit ke-62 sebelum mengalami kecederaan yang memaksanya meninggalkan padang.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz mengesahkan keadaan penyerang kelahiran Brazil itu masih memerlukan pemeriksaan lanjut bagi menentukan tahap sebenar kecederaan dialami.

“Pihak kejurulatihan akan memantau rapi tahap kecergasan pemain dan menunggu laporan imbasan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi melihat sejauh mana tahap kecederaan dialami,” katanya.

Perkembangan itu sekali gus meletakkan penyertaan Bergson bersama skuad kebangsaan dalam keadaan tidak menentu, khususnya menjelang pertemuan menentang China pada 14 November dan Yaman, tiga hari kemudian.

Sekiranya keputusan pemeriksaan menunjukkan kecederaan serius, penyerang berkenaan berkemungkinan memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Bagaimanapun, sekiranya kecederaan itu tidak serius, Bergson masih berpeluang kembali memperkuat JDT sebelum menyertai kem kebangsaan bagi menghadapi kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 berkenaan.

Kehilangan Bergson pastinya menjadi tamparan kepada jentera serangan negara selepas penyerang itu mempamerkan sentuhan berbisa dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026.

Pada kejohanan berkenaan, Bergson berjaya menghasilkan empat gol, termasuk mencipta hatrik ketika membantu Malaysia membelasah Singapura 6-0.

Setakat ini, tempoh pemulihan Bergson masih belum dapat dipastikan sementara menunggu keputusan pemeriksaan MRI dan penilaian lanjut pasukan perubatan JDT.