MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...

Anwar mahu Belanjawan 2027 ringankan beban rakyat, perkukuh ekonomi

PUTRAJAYA - Usaha meringankan beban rakyat, memperkukuh ekonomi negara dan membuka lebih banyak peluang menjadi antara harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan Madani Kelima itu diharap dapat memastikan manfaat pembangunan negara dinikmati rakyat secara lebih adil dan menyeluruh.

“Mudah-mudahan Belanjawan 2027 ini terus memperkukuh ekonomi, meringankan beban rakyat, membuka lebih banyak peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai secara lebih adil,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan terhadap persiapan akhir Belanjawan 2027 bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan.

Dalam hantaran sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kementerian berkenaan atas komitmen dan usaha mereka dalam menyiapkan belanjawan tersebut.

“Penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Kewangan yang telah bekerja keras menyiapkannya,” katanya.

Menerusi beberapa gambar yang dikongsikan, Perdana Menteri dilihat meluangkan masa bersama pegawai serta kakitangan kementerian pada Hari Tinjauan Belanjawan 2027, selain memegang dokumen berkaitan belanjawan berkenaan.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat pada Jumaat, 9 Oktober, pukul 3.30 petang.

Pembentangan itu dijangka memberi tumpuan kepada langkah memperkukuh kedudukan ekonomi negara, menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

Belanjawan Madani Kelima itu juga akan menjadi antara dokumen utama kerajaan dalam menentukan hala tuju perbelanjaan, keutamaan pembangunan dan dasar fiskal negara bagi tahun 2027.