
PETALING JAYA - Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelajar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Anwar berkata, siasatan perlu dilakukan secara telus bagi merungkai punca kematian serta memastikan perkara sebenar yang berlaku dapat dikenal pasti.
"Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang penemuan berkaitan unsur jenayah perlu disusuli dengan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
"Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang," katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta pelajar merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diberi keutamaan.
"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah.
Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut
